3. Ilmu Falak dan Sejarahnya:
3.1 Ilmu falak dikenali umum sebagai Ilmu Kaji Bintang atau Ilmu
Astronomi, perkataan Falak bererti jalan peredaran yakni peredaran
bintang-bintang. Dalam surah Yaasin ayat 40 disebut bahawa: "(Dengan
ketentuan yang diberikan oleh Allah) Matahari tidak mudah baginya
mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana
tiap-tiap satunya beredar terapong-apong di tempat edarannya
masing-masing".
3.2 Pada zaman dahulu ilmu falak dikenali juga dengan Ilmu Nujum yang
digunakan bagi maksud meneka berlakunya satu-satu peristiwa atau nasib.
Di kalangan Sarjana Islam, Ilmu Bintang dibahagi kepada dua bahagian
iaitu :
1) Ilmu Tabie (sains) yang membincangkan kedudukan bintang-bintang,
pergerakannya dan ketentuan-ketentuan gerhana matahari dan bulan.
2) Ilmu yang membincangkan perhubungan pergerakan bintang-bintang dengan
kelahiran, kematian, kebahagiaan dan kecelakaan , hujan, kesihatan dan
lain-lain.
Ilmu yang pertama tadi dinamakan ilmu falak (Astronomi) dan ilmu yang
kedua dinamakan Ilmu Astrologi (tanjim). Secara umum ilmu falak boleh
diertikan sebagai ilmu yang membicarakan tentang matahari dan
bintang-bintang yang beredar tentang besar kecilnya, tentang jauh
dekatnya daripada matahari atau juga tentang cakerawala-cakerawala
langit, tarikan-tarikannya, kedudukan pergerakannya dan lain-lain
fenomena yang berkaitan.
3.3 Orang-orang Arab pada zaman dahulu telahpun mengetahui kedua-dua
bidang ilmu ini sejak zaman Jahiliah lagi. Mereka memperolehi ilmu ini
dari Greek, Parsi, India dan Kaldan. Kemudian ilmu ini diwariskan kepada
orang-orang Islam kemudiannya.
3.4 Umat Islam mula terlibat secara aktif dibidang Ilmu Sains termasuk
ilmu falak pada zaman Kerajaan Umaiyah dan Abbasiah. Di zaman Umaiyah
tokoh ilmu falak yang terkenal ialah Khalid bin Yazid Al-Amawi
(meninggal 85H). Beliau adalah dikenali dengan nama Hakim Ali Marwan.
Beliau dianggap orang pertama yang menterjemahkan buku-buku termasuk
buku-buku mengenai ilmu Bintang pada pertengahan kurun ke-4 Hijrah
didapati dalam Perpustakaan Kaherah sebuah globe dari tembaga karya
Batlamus yang ditulis kata-kata bahawa globe itu disediakan untuk Khalid
bin Yazid. Menurut sarjana sejarah iaitu Al-Mas'udi bahawa Khalifah
al-Malik bin Marwan sangat gemar kepada ilmu bintang sehingga semasa
berperang dibawa bersamanya ahli ilmu bintang. Di zaman Abbasiah,
Khalifah Abu Jaffar Al-Mansor adalah khalifah yang pertama memberi
perhatian kepada kajian Ilmu Falak. Baginda mengeluarkan banyak belanja
untuk memulakan penyelidikan dalam bidang ilmu falak. Baginda
mengumpulkan nama sarjana falak yang terkenal di istana Baginda. Dalam
pembinaan Kota Baghdad baginda melantik seorang ahli falak bernama
Naubakh sebagai Ketua Perancang Projek itu.
3.5 Seterusnya perkembangan kajian ilmu falak berkembang pada zaman
khalifah Al-Mansor. Usaha menterjemahkan buku Sdihanta dari bahasa
Sanskrit ke Bahasa Arab dilakukan oleh Mohammad Al-Fazari yang kemudian
ia diberi jodol "Al-Sindhindin Al-Kabir". Buku ini menjadi panduan utama
kepada orang-orang arab dalam mengkaji ilmu falak hingga ke zaman
Al-Makmun. Mohammad Al-Fazari merupakan orang Islam yang pertama
mencipta astrolabe (jam matahari untuk mengukur tinggi dan jarak
bintang). Buku ini telah disalin ke bahasa Latin pada abad pertengahan
oleh Johannes de Luna Hispakusis. Buku terjemahan ini telah digunakan
oleh universiti-universiti Eropah untuk mengejar Ilmu Bintang. Dari
sinilah orang-orang Barat mula mengetahui benda-benda di cakerawala.
3.6 Antara tokoh-tokoh Ilmu Falak Islam di zaman Abbasiah ialah Abu Sahl
bin Naubakh, Ali bin Isa dan Masyaallah yang dikenali sebagai Phoenix
pada zamannya. Dalam projek pembinaan Kota Baghdad telah didirikan
sebuah 'observatorium' (balai cerapan). Di zaman Al-Makmun telah muncul
ramai sarjana-sarjana Falak antaranya Thabit bin Qurrah, Al-Battani dan
Muhammad bin Musa al-Khawarizmi. Di zaman Al-Makmun juga telah didirikan
sebuah 'observatorium' yang digunakan untuk mengukur daya cahaya rebang
matahari. Di zamannya juga Ahli Falak berjaya mengukur longkaran bumi
sebuah 'observatorium' yang didirikan di Bukit Gaisun di Damsyek. Di
zamannya juga observatorium juga didirikan di Bukit Qaisun. Di Damsyik.
Di zamannya juga telah diterjemahkan Alomagest karangan mengenai
Ptolemeus ke bahasa Arab. Ahli Falak Islam juga telah mengamati equinox,
gerhana bintang berekor (comet) dan lain-lain gejala di langit.
3.7 Di samping itu Al-Battani (mati kira-kira 930M/317H) telah melakukan
penyelidikan tentang perbintangan sejak tahun 877 hingga 918M dan
bukunya yang telah disalin ke bahasa Latin disusun semula dalam bahasa
Arab oleh Nallino (tahun 1903M). Al-Battani telah membahagikan sehari
kepada 12 jam yang digunakan sekarang oleh tukang-tukang jam di Eropah.
Beliau juga telah berjaya mengira setahun bersamaan dengan 356 hari, 5
jam 46 saat dan 24 secant iaitu kurang dalam pengiraan sekarang sebanyak
2 saat 23 secant. Al-Battani menduduki tempat tertinggi di kalangan
Ahli Bintang dan dikatakan peranannya di kalangan umat Islam sama dengan
peranan Ptolemeus di kalangan orang-orang Yahudi. Di zaman-zaman
seterusnya lahir tokoh-tokoh Islam yang meneruskan kajian-kajian yang
dilakukan oleh al-Battani dan tokoh-tokoh lain dan telah menghasilkan
berbagai-bagai kejayaan kepada Ilmu Falak.
3.8 Tokoh-tokoh Ilmu Falak yang terkenal pada kurun ke-7 Hijrah ialah
Nasiruddin al-Tusi yang hidup di zaman Hulagu Khan seorang Raja Monggol.
Al-Biruni (362H-442H) pula merupakan seorang ahli Falak yang terkenal
di zaman Sultan Mahmud al-Ghaznawi. Beliau telah meninggalkan
berbagai-bagai hasil karya yang antara al-Athar al-Baqiah yang
diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Dr. Sachan. Di zaman Kerajaan
Turki Saljuk telah muncul seorang sarjana Falak terkenal iaitu Umar
al-Khayyam. Kawannya ialah Abdul Rahman al-Hazimi. Sebenarnya
kemasyhuran sarjana-sarjana Falak Islam merebak setiap sudut alam.
Mereka menjadi tempat rujuk ilmu Falak. Wilayah Islam yang menjadi
tumpuan rujukan Eropah ialah wilayah Andalus (Sepanyol) kerana
berdekatan dengan mereka.
3.9 Fakta-fakta di atas dicatatkan di sini adalah semata-mata untuk
menunjukkan betapa umat Islam di zaman kegemilangan, telah menumpukan
tenaga yang banyak untuk menguasai ilmu-ilmu sains yang hasilnya telah
dirasai oleh seluruh umat manusia. Kejayaan mereka itu adalah
menunjukkan betapa Islam telah menjadi suatu sumber utama bukan sahaja
dari segi panduan hidup tetapi juga dari segi penerokaan Ilmu
Pengetahuan. Inilah semangat yang hendak dibangkitkan semula di kalangan
kita umat Islam.
AL-BIRUNI
Abu Raihan al-Biruni dilahirkan di luar Birun. Kota Khwarazm Bandar
Khiva di zaman ini dan pada zaman dahulu bernama Chorasmia iaitu di
sebuah daerah yang melahirkan ramai hukama dan sarjana Islam yang
terkemuka. Beliau juga dikatakan telah menuntut ilmu sains di bawah
bimbingan Abu Nasr al-Mansur, seorang ahli astronomi dan matematik yang
pernah menulis syarah ke atas buku Spherics karya Menelaus dan merupakan
penuntut kepada Abu’l-Wafa’.
Peringkat awal penghidupan al-Biruni ialah di bawah pemerintahan a’munid
yang memerintah Khwarzm dan juga dikenali sebagai pemerintahan
Khwarazmiyah. Pemerintahan ini asalnya adalah di bawah perlindungan
kerajaan Samaniyah tetapi kemudian boleh dikatakan berkuasa sendiri.
Al-Biruni mengembara ke tempat lain di Parsi dan pada tahun 388H/998M
hingga403H/1012M beliau berada di Jurjan iaitu di Iistana Shams
al-Ma’ali Qabus ibn Wushmgir. Pada masa inilah iaitu pada tahun
390H/1000M beliau menulis risalahnya yang sangat masyhur, bertajuk
al-Athar al-Baqiyah. Nama penuhnya ialah Abu Rayhan Muhammad bin Ahmad
al-Biruni. Beliau dilahirkan pada 3 Zulhijah 362 H (4 September 973 M di
negeri Parsi. Beliau adalah orang asing dalam kalangan penduduk
Khawarizm. Olen sebab itulah beliau digelar al-Biruni yang bermaksud
orang asing dalam bahasa Parsi. Beliau sangat terkenal di kawasan
Khawarizm sehingga diberi gelaran Khawarizmi bersempenadengan nama
kawasan itu.
Kuasa bangsa Turki di Asia Tengah yang kian memuncak, mencapai
kekuatannya semasa pemerintahan mahmud dari Ghazna di mana kebanyakan
pemerintahan Mahmud kecil kerajaan Parsi di daerah itu dimusnahkan.
Dalam tahun 408H/107M. Mahmud berjaya mengusai Khwarazm, dan pada tahun
berikutnya membawa Abu Raihan, yang menjadi musuh politiknya ke Ghazna.
Sebagai ahli astrologi dan ahli matematik istana pula kemudiannya,
al-Biruni kerap mengiringi Mahmud dalam pergerakan tentera raja itu dan
turut serta dalam pergerakan tentera yang masyhur iaitu pergerakan
menawan India yang juga memberi peluang yang seluas-luasnya kepada
al-Biruni untuk mengkaji manifestasi yang pelbagai bagi agama Hindu.
Pada tahun 422H/1031H, al-Biruni kembali ke Ghazna dan menulis kitab
beliau yang paling terkemuka sehingga kini iaitu, India dan sebuah kitab
lain yang bertajuk Kitab al-Tafhim.
Mahmud meninggal dunia di Ghazna pada tahun 421H/1030M. Perebutan kuasa
berlaku di antara putera-puteranya dan berkesudahan dengan kemenangan
Mas’ud, yang kemudiannya menjadi penaung al-biruni dan kepadanya, iaitu
pada tahun ia memenangi kuasa pemerintahan, sebuah kitab yang bertajuk
al-Qanun al-Mas’udi dipersembahkan sebagai dedikasi al-Biruni kepada
penaungnya itu. Kitab ini merupakan sebuah adikarya bidang astronomi.
Al-Biruni terus tinggal di Ghazna, hidup dengan memperhambakan diri
kepada pengkajian dan penulisan sehingga akhir hayatnya iaitu pada
kira-kira tahun 442H/1051M.
Penghidupan al-Biruni bukan sahaja dipenuhi dengan pergolakan politik
dan perubahan hidup di Asia Tengah dan Parsi tetapi juga penuh dengan
perubahan minatnya sendiri daripada satu bidang ilmu kepada bidang ilmu
yang lain. Pada peringkat awal beliau sangat tertarik hati kepada
lapangan ilmu matematik dan astronomi sehingga ia menjadi tokoh yang
paling berwibawa di dalam sejarah sains islam. Kemudian minatnya
tertumpu pula kepada sejarah dan kronologi dan akhirnya iaitu pada
penghujung hayatnya ia memberi tumpuan pula kepada optika, perubatan,
mineralogy dan farmakologi iaitu seperti yang ditunjukkan dalam Kitab
al-saidanah (atau saidalah). Di sepanjang perubahan minatnya dalam
bidang ilmu itu, minatnya terhadap agama dan kultus tetap kuat;
petikannya akan Bhagavad-Gita dan gambaran yang diberikannya tentang
hari kebebasan agama bagi agama-agama di Asia Barat memberi petanda
kepada minatnya yang mendalam dan kefahamannya akan agama. Karya beliau
tentang perbandingan agama tetap menjadi sumbangan beliau yang paling
penting.
Walaupun tidak ada hasil penulisan falsafah al-Biruni yang terdapat di
dalam simpanan khazanah atau diketahui selamat tersimpan kini namun
adalah diketahui bahawa al-Biruni telah mempelajari falsafah dengan
mendalam dan sangat mahir dalam bidang ini. Beliau sangat berminat dalam
falsafah anti Aristotle yang dibawa oleh tokoh falsafah seperti
Muhammad ibn Zakariyya’ al-Razi. Al-Biruni berusaha bertahun-tahun
mencari kitab Sirr al-Asrar karya al-Razi dan juga lain-lain karya
falsafah. Namun beliau menulis sebuah risalah membahas tentang
kesalahan-kesalahan al-Razi. Beliau juga mempelajari, sekadar yang
termampu pada zaman itu, tentang Vendanta dan teks lain mengenai agama
Hindu yang kalaupun tidak berciri falsafah dalam pengertian moden atau
pengertian aliran Aristotle namun tetap merupakan pengajaran himah yang
sangat halus. Sikap dan pandangan Abu Raihan terhadap falsafah Yunani
aliran Aristotle tidak langsung menunjukkan sebarang simpati atau
sokongan.
Selain karya utama beliau yang masih terdapat hingga kini seperti
al-Athar al-Baqiyah, India, Kitab al-Tafhim, Kitab al-Jamahir fi
Ma’rifat al-Jawahir, al-Qanun al-Mas’udi, dan yang belum diterbitkan
seperti Kitab al-Saidanah serta Kitab Tahdid Nihayat al-Amakin,
al-Biruni menulis banyak risalah kecil tentang astronomi dan geografi.
Beliau juga banyak menulis risalah mengenai bidang-bidang ilmu lain
termasuklah falsafah. Karya beliau tentang falsafah seperti Kitab
al-Sha-mil fi’-l-mawjudat al-mahsusah wa’l ma’qulah, Kitab fi’l-tawassut
bain Aristutalis wa Jalinus fi’l-muharrik al-awwal, Riyadat al-fikr
wa’l-‘aql, Maqalah fi’l-bahth’an al-athar al-‘ulwiyah dan Maqallah fi
sifat asbab al-sukhunat al-mawjudah fi’l-;alam wa ikhtilaf usul
al-sanah, nampaknya sudah tidak terdapat lagi dan turut juga ‘hilang’
ialah banyak karya terjemahan beliau ke atas Elements karya Euchids dan
Almagest karya Ptolemy. Beliau menterjemahkan karya-karya besar ini ke
dalam bahsa Sanskrit. Terjemahan beliau dari karya Sanskrit iaitu Yoga
sutras of Patanjali yang dianggap ‘hilang’ telah dijumpai tidak lama
dahulu di Istanbul. Beliau juga menulis beberapa buah karya sastera
seperti cerita Qasim al-surur wa ‘ayn al-hayat, dan Urmuzdyar wa
mihryar. Al-Biruni, dalam penulisannya, Fi fihrist kutub Muhammad ibn
Zakariyya’ al-Razi telah menyenaraikan 113 tajuk kitab dan karyanya
sendiri dan 25 buah lagi yang ditulus oleh Abu Nasr al-Mansur ibn ‘Ali
ibn al-‘Iraq, Abu Sahl ‘Isa Ibn Yahya al-Masihi dan Abu ‘Ali al Hasan
‘ibn ‘Ali al-jili, kesemunya di bawah arahan beliau. Hajji Khalifa,
dalam kitabnya, Kashf al-zunun menyebut kira-kira lima belas buah karya
tidak termasuk Fihrist tetapi yang sah ditulisnya empat belas tahun
sebelum ia meninggal dunia. Tambahan kepada semua ini ialah tujuh lagi
manuskrip telah dijumpai yang tidak langsung disebutkan dalam
senarai-senarai tadi. Jika seseorang pengkaji memasukkan senarai Yaqut
yang menyebutkan terjemahan daripada bahasa Sanskrit dan karya yang
ditulis oleh orang lain tetapi dipadankan kepada nama al-Biruni, maka
jumlah kesemuanya akan menjadi 180.
Di samping bersemuka dengan sebilangan sarjana dan hukama Muslim,
Kristian dan Hindu di zamannya, al-Biruni juga mengkaji dan mendalami
teks sains Greek, Babylonian, Manichean dan Zoroaster. Malah harus
diingati bahawa karya agung seperti al-Qanun al-Mas’udi bukan sahaja
merupakan kitab besar astronomi Muslim, tetapi juga adalah sumber bagi
kebanyakan sains zaman dahulu, sama ada sains Chaldean ataupun Greek
yang teks asal mereka sudah tidak terdapat lagi.
Selain mempunyai pengetahuan yang asasi tentang teks astronomi-matematik
seperti Almagest, Elements, pelbagai buku Sinddhanta dan lain-lain
penulisan Hindu, Al-Biruni juga sangat fasih mendalami banyak penulisan
yang berkaitan dengan “falsafah tabii” dan sejarah. Sumber-sumber yang
dirujuk dalam Kitab al-jamahir fi ma’rifat al-jawahir, teks ilmu Islam
yang paling lengkap tentang mineralogy, termasuklah para ahli sains
Muslim seperti al-Kindi, al-Jahiz, Muhammad ibn Zakariyya’ al-Razi,
Jabir ibn Hayyan, tokoh-tokoh sastera, sejarah dan geografi seperti Nasr
ibn Ya’qub al-Dinawari, Ahmad ibn ‘Ali, Abu’l- ‘Abbas al- ‘Ummani dan
penulis Greek seperti Aristotle, Archimedes, Apollonius dari Tyana,
Dioscorides, Plutarch, Ptolemy, Galen, Bolos Democritus, Plato,
Heraclides, dan Diogenes. Beliau juga banyak memetik puisi Arab - sama
ada zaman Islam atau praIslam – dan juga puisi Parsi, India, Suryani dan
karya-karya Alexandria di dalam bidang ini. Tambahan Kitab al-jamahir,
dan dalam kitab-kitabnya yang lain juga akan bahagian-bahagian daripada
kitab-kitab suci bagi banyak agama termasuklah Perjanjian Lama dan
Perjanjian Baru, Avesta dan tentu juga al-Qur’an sendiri yang mana
al-Biruni sangat mahir tentangnya. Dalam risalahnya Ifrad al-maqal fi
amr al-dalal, semasa membicarakan waktu sembahyang beliau telah memetik
hadith nabi, kata-kata ‘Umar ibn al-Khattab, al-Ash’hari, al-Shafi’I,
dan ramai lagi tokoh agama yang berpengaruh yang kesemuanya ini
menunjukkan kebolehan beliau yang sangat mendalam tentang sumber hukum
serta teologi Islam. Bagaimanapun, memang terdapat bebaerapa bidang
sains di zamannya yang tidak disentuh.
Disebabkan terdapat aral terjemahan maka al-Biruni tidak begitu dikenali
dan tidak berpengaruh di Barat Latin berbanding dengan tokoh besar di
zamannya, Ibn Sina. Jika sekiranya kitab beliau al-Qanun al-Mas’udi
diterjemahkan ke bahasa Latin, maka kitab ini tentu akan menjadi
semasyhur Qanun Ibn Sina. Di dunia Islam, al-Biruni tetap menjadi
sarjana besar yang tiada tandingannya di dalam bidang-bidang astronomi,
astrologi, geografi dan matematik. Karya beliau India, adalah karya yang
unik di dalam sejarah kaum Muslimin dan karya beliau, al-Athar
al-baqiyah adalah sumber terbaik tentang kronologi peristiwa-peristiwa
keagamaan di Asia Barat pada zaman silam. Kitabnya yang bertajuk Kitab
al-tafhim menjadi inspirasi kepada beberapa buah risalah saintifik zaman
selepas beliau termasuklah Kitab rawdat al-Munajjimin oleh Shahrdan ibn
Abi’l-Khair al-Razi dan Kaihan shinakht oleh Hassan Kattan al-Marwazi,
yang kedua-duanya ditulis pada abad yang kelima, Jahan-I Danish oleh
Sharaf al-Din Muhammad ibn Mas’ud ibn Muhammad al-Mas’udi dan Kifayat
al-ta’limi sina’at al-tanjim oleh Sayyid al-‘Ulama’ abu’l-Mahamid ibn
Mas’ud ibn al-Zaki al-Ghaznawi, yang ditulis pada bad ketujuh dan juga
Kitab al-tafhim fi ma’rifat istikhraj al-taqwim oleh Mazhar al-Din
Muhammad al-Lari, iaitu karya abad kesepuluh adalah kedua-duanya
berdasarkan kepada hasil penulisan al-Biruni.
Karya-karya al-Biruni bersemarak di arena aktiviti intelektual yang
berkemuncak pada abad keempat. Karya-karya beliau juga merupakan satu
usaha yang paling rapi serta teliti dalam menyatukan cabangan-cabangan
ilmu kaum Muslimin dan juga ilmu-ilmu yang diwarisi daripada tamadun
zaman dahulu. Dengan sifatnya yang demikian, karya-karya al-Biruni
memberi khidmat kepada zaman selepas beliau sebagai sumber sains tabii
dan sains peradaban dan mendapat sanjungan dan berpengaruh sebagai bahan
penulisan seorang sarjana yang tidak dipertikaikan. Sebagai ahli
astronomi dan juga terutamanya ahli astrologi keidealan beliau sentiasa
diikuti.
Pengkajian terhadap geografi, astronomi, dan lain-lain adalah sesuai
kerana ia sangat mustahak kepada penghidupan beragama masyarakat Islam
dan perlu dikaji dengan matlamat atau tujuan ini. Tidak timbul persoalan
‘sains untuk sains’ dalam pemikiran al-Biruni sama juga halnya dengan
tidak wujudnya gagasan ‘seni untuk seni’ dalam pemikiran Islam. Seni dan
sains perlu memberi khidmat kepada keidealan penghidupan Islam yang
merupakan ‘penghidupan sejahtera’ dan matlamat terakhir yang perlu
dicita-citakan. Kewajaran serta kesahihan bagi pengkajian sains tidak
seharusnya ditentukan oleh kegunaan praktikal, kerana kegunaan tidak
menentukan nilai dalaman bagi sesuatu. Sebaliknya, kesahihan pengkajian
sains bersama dan tujuan dan matlamatnya adalah bersandarkan kepada
suruhan al-Qur’an yang mempertanggungjawabkan manusia merenung kejadian
langit dan bumi yang telah dijadikan Tuhan dengan Haqq (bi’l-haqq).
Walaupun ketaatan dan usaha ikhlas al-Biruni sebagai seorang Muslim
adalah jelas, namun kemiripan beliau terhadap aliran tertentu di dalam
Islam susah dipastikan. Sebagaimana juga karya para penulis abad ke-4
umumnya, penulisan Abu Raihan tidak menunjukkan dengan jelas sama ada ia
dipengaruhi oleh mazhab Syiah atau Sunni. Beliau menulis tentang
kedua-dua mazhab dengan pengetahuan dan kebijaksanaan tetapi tidak
membayangkan pilihan beliau atau kemiripan beliau. Seseorang dapat
meilihat pengaruh Syiah yang lebih kuat ke atas diri beliau semasa ia
muda dan tarikan yang lebih kuat kepada mazhab Sunni pula apabila
umurnya sudah lanjut, namun pilihan beliau sendiri tidak dinyatakan
dengan tegas. Malah Abu Raihan pernah menyatakan bahawa ia memakai
sebentuk cincin dengan dua jenis batu, yang satu dimuliakan oleh Sunni
dan satu lagi oleh Syiah. Dengan begitu ia cuba menyatakan bahawa ia
menerima kedua-duanya.
Al-Biruni juga memperlihatkan kebolehan yang tinggi tentang ilmu
tasawwuf walaupun beliau membuat kesalahan dengan mengatakan bahawa Sufi
berasal dari Sophos, dan dalam bukunya, India, ia selalu
membanding-bandingkan antara doktrin Hindu dengan doktrin Sufi. Namun
begitu tidak ada sedikit keraguan bahawa ia bukanlah seorang ahli Sufi.
Al-Biruni merupakan seorang sarjana yang ulung dan ahli sains yang
terbilang dan juga seorang Muslim yang amat taat, yang telah mempelajari
banyak perkara melalui pembacaan, penilitian dan berfikir dan telah
berjaya menguasai banyak cabangan ilmu pengetahuan, namun ia tidak
mengikuti jalan penyucian jiwa dan intuisi Qalbu yang bersifat terus
yang di dalam Islam adalah berkaitan dengan ilmu tasawwuf. Beliau
memuliakan kerohanian Sufisme seperti kaum Muslimin lainnya tanpa
mempunyai pengalaman rohani sendiri.
Penguasaannya terhadap pelbagai ilmu pengetahuan dan bidang tersebut
menjadikan al-Biruni dijuluki sebagai "ustaz fil ulum" atau guru segala
ilmu. Meski sebahagian besar ilmuwan Muslim masa lalu memang memiliki
kemampuan multidimensi, namun al-Biruni tampaknya lebih menonjol. Ia tak
hanya menguasai bahasa Arab, tapi juga Sanskrit dan Ibrani. Ia memiliki
ilmu pengetahuan yang luas tentang filsafat Yunani, menjadikannya
seorang sarjana agung yang pernah dilahirkan oleh dunia Islam. Al-Biruni
berhasil membuktikan, menyandingkan ilmu dan filsafat telah
memungkinkan agama bisa terus hidup subur dan berkembang serta membantu
menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh umat.
Al-Biruni telah menghasilkan lebih dari 150 buah buku. Di antara
buku-buku itu adalah "Al-Jamahir fi al-Jawahir" yang berbicara mengenai
batu-batu permata; "Al-Athar al-Baqiah" berkaitan kesan-kesan lama
peninggalan sejarah, dan "Al-Saidalah fi al-Tibb", tentang obat-obatan.
Penulisannya tentang sejarah Islam telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Inggris dengan judul "Chronology of Ancient Nation". Banyak lagi buku
tulisan Al-Biruni diterbitkan di Eropah dan tersimpan dengan baiknya di
Museum Escorial, Sepanyol.
Sejak usia muda, Al-Biruni sudah tertarik pada astronomi dan matematik.
Ia banyak belajar kepada astronom dan ahli matematika terkemuka kala
itu, Abu Nasr Mansur. Pada tahun 990 atau saat usianya baru menginjak 17
tahun, Al-Biruni sudah melakukan pengamatan serius di bidang astronomi,
yakni dengan menghitung garis lintang Kath melalui pengamatan
ketinggian maksimum Matahari.
Al-Biruni amat berminat dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan
dengan teori-teori abstrak, falsafah, sains praktis matematik,
geografi, fizik, dan astronomi. Dalam semua bidang itu, beliau lebih
memberi penumpuan terhadap bidang astronomi. Ini dibuktikan melalui
pengakuannnya sendiri, “Oleh kerana saya berminat dalam bidang
astronomi, malah saya dikenali dalam bidang ini, maka saya tidak berniat
untuk keluar dari bidang ini dan mahu berkhidmat kepada perbendaharaan
baginda (Mas’ud) yang dikenali sebagai nikmat, dengan menulis
undang-undang astronomi”.
Bagi menunjukkan kepentingan ilmu astronomi dan matematik dalarn
kehidupan harian, beliau telah memberi contoh dengan mengemukakan
pengaruh matahari dan bulan ketika menentukan musim dan air pasang
surut. Ilmu kaji bintang juga penting dalam menentukan arah pengembaraan
dan perjalanan, kiblat, waktu solat, dan kedudukan garis lintang dan
garis bujur sesuatu tempat.
Beliau telah mengemukakan beberapa teori astronomi yang penting.
Pertamanya teori alam semesta yang mana beliau menganggap alam ini
terletak di luar permukaan sfera yang terhad. Beliau tidak bersetuju
dengan konsep graviti alam semester sebagai kuasa sebenar. Teori yang
kedua ialah kosmogoni. Beliau membincangkan asal-usul alam semesta
secara terperinci dalam bukunya al-Tahdid. Beliau tidak bersetuju dengan
pandangan yang mengatakan bumi ini kekal. Beliau telah melengkapkan
karya Abdul al-Malik al-Tayyib al-Busi dengan mengumpulkan pelbagai arus
pertukaran bumi pada zamannya.
Ketika usianya belum genap 22 tahun, Al-Biruni telah menulis sejumlah
kertas kerja, meski dalam bentuk pendek. Sayangnya, semua kertas kerja
Al-Biruni hilang ditelan sejarah. Salah satu karyanya yang bisa selamat
adalah kartografi yang berguna dalam proyeksi pembuatan peta. Seperti
halnya mendeskripsikan proyeksinya mengenai belahan Bumi melalui suatu
pesawat, Al-Biruni pada usia 22 tahun dengan fasih membaca proyeksi peta
yang ditemukan orang lain dan mendiskusikannya dalam risalah.
Tapi sayang, masa-masa ketika Al-Biruni hidup, adalah masa-masa genting
Dunia Islam. Situasi politik yang berkembang saat itu juga turut
memengaruhi dan menentukan arah kehidupan Al-Biruni. Penguasa Khwarazm
adalah Banu Iraq dan secara kebetulan guru Al-Biruni, Abu Nasr Mansur
adalah seorang pangeran dari keluarga tersebut. Pada tahun 995 terjadi
kudeta politik. Perang saudara pun berkecamuk. Sebagai murid, Al-Biruni
tentu saja terkena imbas persoalan politik tersebut. Ia kemudian
melarikan diri dari Khwarazm sehingga ia kemudian tidak mengetahui
bagaimana nasib sang guru. Minat dan kecenderungannya untuk mempelajari
serta meluaskan dimensi ilmu pengetahuannya telah mendorong Al-Biruni
merantau sehingga ke negara India. Tetapi semasa berada di India,
Al-Biruni telah ditawan oleh Sultan Mahmood al-Ghaznawi. Setelah
mengetahui keilmuwan Al-Biruni, sang sultan pun menugaskan Al-Biruni
sebagai ulama istana. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Al-Biruni
untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan bahasa lain di India. Di sana
Al-Biruni mendapat kesempatan untuk mengenali agama Hindu dan filsafat
India. Hasilnya, ia menulis beberapa buku yang mempunyai hubungan dengan
masyarakat India dan kebudayaan Hindu. Dalam satu tulisannya, Al-Biruni
menyatakan, ajaran Hindu berasaskan konsep penjelmaan yang mempunyai
persamaan dengan ajaran tauhid dalam Islam dan triniti dalam agama
Kristen.
Tembok penjara tidak menjadi penghalang kepada Al-Biruni untuk terus
menuntut dan menghasilkan karya-karya yang besar dalam pelbagai bidang.
Sumbangannya kepada ilmu dan peradaban India amat besar. Sumbangannya
yang paling penting ialah dalam penciptaan kaidah penggunaan angka-angka
India dan kajiannya mencari ukuran bumi menggunakan perhitungan
matematika. Al-Biruni berhasil menyusun satu daftar peta yang berisi
kedudukan ibu kota negara di dunia. Semasa berada dalam tawanan itu,
Al-Biruni juga menggunakan seluruh ruang dan peluang yang ada untuk
menjalin hubungan antara para ilmuwan sekolah tinggi Baghdad dan para
sarjana Islam India yang tinggal dalam istana Mahmud al Ghaznawi.
Sebelum ke India, Al-Biruni sering menjalin hubungan dengan Ibnu Sina.
Pada waktu yang bersamaan, Al-Biruni juga membuktikan bahwa golongan
ahli filsafat bukan merupakan golongan yang sesat dan hidup di
awang-awangan. Peranan dan kedudukan mereka amat besar dalam
perkembangan dan kemajuan Islam serta peradaban manusia. Pencapaian
besar al-Biruni termasuklah penciptaan kaedah penggunaan angka-angka
India dengan menggunakan angka sifar, penentuan garis bujur serta garis
lintang bumi dan penjelasan tentang hakikat kelajuan perjalanan cahaya
mengatasi perjalanan bumi. Malah al-Biruni juga mewariskan banyak hasil
penulisan yang sangat berharga termasuklah "Al-Saidalah fi al-Tibb"
(ubat-ubatan) dan "Al-Qanun" (falak). Selain membuktikan kecintaan yang
mendalam terhadap ilmu, al-Biruni dan juga sarjana-sarjana agung Islam
zaman silam ternyata menunjukkan banyak teladan yang selayaknya
dicontohi oleh umat Islam kini. Antaranya termasuklah usaha yang
dilakukan dengan membuka pintu pengajian di seluruh dunia; timur serta
barat dan bagi kemasukan segala bentuk warisan tamadun manusia sejagat.
Proses penerimaan, penyerapan, penterjemahan, pengembangan semula dan
pengubahsuaian ilmu asing menurut asas yang ditentukan Islam demi
kepentingan masyarakat Islam, tidak terhenti di situ sahaja, malah
ditingkatkan sehingga mereka berjaya mencapai tahap kreativiti dan
inovasi yang sebenar, iaitu pada kurun ke-3H./9M.
Di samping itu, hubungan yang dijalin dengan bangsa-bangsa maju di dunia
ketika itu dijadikan penggerak usaha untuk memanfaatkan kemajuan dan
pengetahuan yang dimiliki oleh bangsa-bangsa tersebut. Lebih utama
daripada itu, tokoh-tokoh agung kebanggaan Islam ini membuktikan bahawa
pencapaian hebat dan sumbangan besar lagi terbilang mereka itu hanyalah
dengan satu tujuan yang suci, iaitu demi membawa kesejahteraan dan
kemakmuran kepada kehidupan manusia sejagat, bukan sahaja yang sezaman
dengan mereka tetapi juga selepas mereka. Ini terbukti dengan
penghasilan karya-karya agung yang dapat dimanfaatkan hingga pada zaman
kini. Amat menarik juga jika diteliti bahawa kegigihan tokoh-tokoh agung
Islam dalam pelbagai bidang itu sebenarnya turut didorong oleh
pemerintah yang berilmu dan juga memiliki kecintaan yang mendalam
terhadap ilmu seperti Khalifah al-Ma'mun (yang memerintah dari tahun
198-218H./813-833M.). Antara usaha penting khalifah `Abbasiyyah ini
termasuklah titah baginda kepada sekumpulan besar ahli geografi dan ahli
astronomi untuk menghasilkan sebuah buku geografi yang lengkap dan peta
dunia yang baharu. Demikianlah pula dengan usaha untuk menentukan ukur
lilit bumi di khatulistiwa. Pada awal kurun ke-3H./9M., Khalifah
al-Ma'mun menitahkan supaya sekumpulan besar ahli astronomi menajdikan
ukuran darjah longitud sebagai asas bagi penghasilan peta dunia.
Kumpulan ahli astronomi ini melaksanakan titah baginda di Padang Pasir
Sinjar, di utara Iraq dan juga di Tadmur dengan menggunakan pelbagai
alat pengukuran, iaitu astrolab, rod serta tali pintal untuk menentukan
permulaan dan penghujung darjah latitud serta jarak di antara
kedua-duanya. Kesimpulan yang dicapai oleh mereka ialah darjah longitud
mencapai 56 2/3 batu Arab dan dengan demikian, longitud khatulistiwa
adalah hampir 40,000 km. Pada hakikatnya, longitud khatulistiwa yang
diiktiraf oleh ahli geografi moden berpandukan hasil ilmiah yang
cemerlang dan terperinci ini.
Sesungguhnya kemunculan Al-Biruni sebagai tokoh ilmuwan tersohor telah
mengangkat martabat ahli filsafat dari pelbagai stigma dan label
negatif, serta mengubah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ahli
filsafat itu sendiri. Al-Biruni meninggal dunia pada tanggal 13 Desember
1048 di Ghazna (kini Ghazni, Afganistan). Meski sudah lama meninggal,
nama Al-Biruni tetap harum dikenang zaman.
Rumusan dan Cadangan
Sesungguhnya usaha menghayati serta menyuburkan semula ingatan terhadap
sumbangan besar cendekiawan Islam yang terbilang itu di samping
menjadikannya sebagai pencetus semangat dan inspirasi merupakan sesuatu
yang harus dipuji. Ia diharapkan dapat menimbulkan kesedaran yang tinggi
tentang kepentingan penguasaan ilmu sains dan teknologi yang dapat
membantu usaha membentuk sejumlah besar cendekiawan dan pakar bagi
memacu kecemerlangan negara. Sehubungan itu juga, penglibatan aktif
cendekiawan serta pakar ini dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunan,
membolehkan negara mencipta teknologi sendiri yang bukan sahaja dapat
mengelakkan pergantungan pada teknologi asing. Bahkan sebaliknya dapat
merancakkan perkembangan iktisad ummah seluruhnya. Namun demikian,
seharusnya pula kesedaran, minat, semangat serta inspirasi yang berhasil
dipupuk sepanjang pameran yang dijadualkan berlangsung lebih dua bulan
ini tidak terhenti di situ sahaja.
Lebih banyak langkah susulan yang perlu dirancang dan dilaksanakan
dengan penuh kesungguhan. Ini misalnya dengan memperkenalkan tokoh
ilmuwan Islam silam ini secara berterusan dan melalui pendekatan yang
berkesan. Salah satunya ialah melalui kurikulum atau sukatan pelajaran
dan pengajaran di sekolah, khususnya di peringkat rendah. Misalnya
melalui mata pelajaran matematik, pelajar-pelajar diberikan maklumat
tentang peribadi dan sumbangan al-Khawarizmi, antaranya bagaimana beliau
menggunakan angka sifar sebagai gandaan puluh, ratus dan juta selain
mengasaskan algebra (al-jabr) dan menjadikannya sebagai cabang ilmu yang
terpisah daripada ilmu hisab dan geometri. Demikian juga melalui mata
pelajaran sains, kegigihan dan sumbangan Ibn al-Haitham dalam bidang ini
wajar didedahkan kepada pelajar-pelajar, apatah lagi kejayaan beliau
untuk menguasai bidang sains, falsafah dan geometri bermula sejak usia
remaja lagi.
Bagi penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi pula, keagungan
tamadun Islam dan sumbangan ilmuwannya seharusnya tidak dibataskan hanya
melalui pembelajaran subjek tamadun Islam semata-mata. Sebagai contoh,
pensyarah boleh memainkan peranan dalam memberikan pendedahan dan
pengetahuan yang mendalam tentang sumbangan tidak terhingga nilainya
oleh ilmuwan agung Islam terhadap bidang atau kursus yang diikuti oleh
pelajar-pelajar. Kehebatan dan pencapaian mengagumkan ilmuwan Islam
dalam seni bina (seperti Istana al-Hamra'/al-Hambra serta Taj Mahal),
astronomi, geografi, pengembaraan dan pelayaran (misalnya jam matahari,
astrolab dan kompas), teknologi dan penciptaan dalam bidang pertanian,
pembinaan serta kejuruteraan (sebagai contoh, pam air automatik),
penciptaan dan penemuan dalam bidang perubatan (misalnya kelalang tanah
liat yang digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan), pasti dapat
menyuntik semangat yang luar biasa sifatnya di kalangan penuntut,
sekurang-kurangnya untuk mencipta kejayaan tersendiri.
Selain kurikulum dan kegiatan pembelajaran, peranan media elektronik
juga dilihat sangat berkesan dalam menjayakan hasrat besar ini. Usaha
yang dirintis oleh TV3 dalam menerbitkan rancangan berkualiti seperti
"Ilmuwan Islam" seharusnya diteladani dan diberikan sokongan yang tiada
taranya. Ternyata melalui rancangan tersebut, masyarakat negara ini
memperoleh maklumat sebenar tentang sumbangan dan usaha yang dirintis
oleh ilmuwan atau sarjana agung Islam. Sekadar menyebut contoh,
pendedahan "Ilmuwan Islam" tentang sumbangan Ibn Firnas dalam
kejuruteraan penerbangan dan merupakan orang pertama yang membuat
percubaan untuk terbang pada tahun 875 (sebagaimana yang juga disebut
oleh Philip Hitti, History of Arabs) membetulkan tanggapan orang ramai
yang sebelumnya hanya mengetahui pencapaian Wilbur dan Orville Wright
dalam bidang yang sama sekitar tahun 1900. Rancangan bermutu seumpama
ini seharusnya mendapat sokongan dalam pelbagai bentuk, khususnya tajaan
dan pengiklanan yang memungkinkan ia terus berperanan memberikan
manfaat yang tidak terbanding nilainya kepada segenap lapisan masyarakat
negara ini. Dalam hubungan ini, pihak pengiklan seharusnya menunjukkan
sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha kerajaan menyemarakkan
budaya keilmuan dan tradisi menyelidik serta menghasilkan teknologi di
kalangan rakyat. Bahkan inilah juga sebahagian daripada tanggungjawab
kemasyarakatan yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Telah tiba masanya
juga untuk pengiklan-pengiklan mengutamakan rancangan keilmuan
berbanding dengan minat, tumpuan serta sasaran mendapatkan keuntungan
melalui rancangan berbentuk hiburan semata-mata.
Secara peribadi, setiap kita perlu memainkan peranan masing-masing bagi
menjayakan usaha menimbulkan minat mengikuti jejak dan pencapaian
ilmuwan Islam silam. Sekurang-kurangnya inilah tandanya kita menyokong
penuh dan menghargai kegigihan Prof Dr Fuat Sezgin, pemilik 148 replika
pameran anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan
kerjasama Institute for the History of Arabic-Islamic Science, Johanne
Wolfgang Goethe University, Frankfurt, Germany yang bertemakan "Sains
Islam Mendahului Zaman" itu. Memetik inti pati ucapan beliau pada hari
pelancaran pameran, "Sains moden yang bermula di Eropah beberapa kurun
silam sebenarnya begitu biasa dan dekat dengan kita. Justeru itu, umat
Islam tidak harus sama sekali berasa terasing daripadanya kerana
sebahagian besarnya merupakan cabang bagi tahap awal perkembangan dalam
dunia Islam. Sebaliknya kini telah tiba masanya bagi kita mempelajari
dan menyerap pencapaian dalam tamadun barat sehingga kita berkeupayaan
menyumbang pencapaian kita sendiri.".